dari blog ustaz Hasrizal- http://saifulislam.com/?p=8020
((Fitnah Petunjuk Istikharah))
“Ustaz, saya dan tunang saya sudah
hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara
mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang
perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu
adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah.
Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang
saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada
petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”
Sepucuk emel dihantar kepada saya.
Beristighfar dan mengurut dada.
Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di
dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat
pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang
disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang
orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama
‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?
MEMBELAKANGKAN ILMU
Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah
tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan
rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain.
Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu
dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?
Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang
mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran
dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang
manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.
Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf
dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak
meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab
Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
“Ada sesetengah orang berpendapat,
“sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti
petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang
ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’
dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur
(dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada
juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana
mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka
manusia yang tidak berasas”
Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
Istikharah itu bermaksud meminta bantuan
daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa
kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada
antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh,
maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang
sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan
pilihan yang tidak baik itu.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan
kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk
(mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu
(yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya
Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon
ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha
Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk
menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui.
Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya
Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat
tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui
akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan
urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah
ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan
andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada
agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka
hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah
bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
“Tidak akan menyesal seorang yang
beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para
Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”
Biar pun para Ulama berselisih pendapat
tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia
tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia
dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada
pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu
mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di
depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik.
Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian
dengan berusaha.
Setelah beristikharah, namun hati masih
berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat
dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat
keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni
meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan
kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.
Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah
kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah
untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda
yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana
hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang
teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah
Syaitan.
Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda
yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong
mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya
bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya
sendiri.
Berhentilah mencari mimpi.
Berhentilah menunggu petanda.
Beristikharah memanggil kebersamaan Allah
dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan
keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah
dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang
dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan
berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada
apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan
kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah –
Ikhtiar Usaha).
Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang
disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan,
meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan.
“Sebahagian (daripada umat manusia)
diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman
dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka
ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya
mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang
ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada
di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN
- Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam
kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang
mengundang bahaya.
- Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
- Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
- Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
- Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah
kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur
daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
- Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
- Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
- Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
- Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
- Jauhi Bid’ah dan Syirik.
- Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
- Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan
yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah
dan kebaikan daripada Allah.
- Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di
dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat
sebagai mekanisme jodoh.
- Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
- Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
No comments:
Post a Comment
berbicara di sini..