Bismillahirrahmanirrahim.
Salam pagi..salam Ceria..salam Bahagia ! ! !
Dah lama saya tak mendengar radio IKIM.FM sejak musim exam ni. Tapi saya tetap ada rasa kekurangan, sebab jika setiap hari saya mendengar motivasi dan muhasabah diri, hari-hari peperiksaan pula kurang mendengarkannya.
Alhamdulillah, hari ini Allah berikan ruang masa saya untuk mendengar siaran ulangan slot Jumaat baru-baru ini, Jumaat pada tahun baru 2012.
Ustaz kata :
Bertaubatlah setiap hari, biasakan sebelum solat fardu beristighfar 10 kali dengan khusyuk…selepas solat 10 kali dengan khusyuk. Kita berzikir bukan ingin mengejar kuantiti..tetapi kualiti. Walaupun hanya 10 kali sebelum dan selepas telah menjadi 20x 5 kali solat= 100kali. Sekurang-kurangya kita juga belajar istiqamah. Wahai Allah, jadikan kami orang yang ikhlas dan istiqamah.
lalu ustaz kongsikan…
Cuba lihat rumah kita, adakah rumah kita sebuah rumah pawagam atau rumah sekolah?
Kenapa dikatakan sedemikian?
Ada rumah yang hanya untuk hiburan dan filem-filem semata-mata? Di mana rumah yang mendidik???
Ada tak rumah yang seperti sebuah sekolah yang mendidik? Rumah yang apabila kita berada di dalamnya kita sentiasa berusaha untuk dididik dan mendidik .
Saya membayangkan serta memasang impian untuk menyediakan sebuah rumah yang bertemakan perpustakaan tarbiah! Allah! Impian ini tidak mustahil jika pasangan saya kelak turut menyumbang tenaga untuk merealisasikan tema ini. Ya, macam kita buat kajian untuk AOP, ada tema yang masing-masing bawa dalam rancangan bidang pekerjaan . Allah… ada ruang yang kami sediakan untuk membaca malah hobi kami semua adalah membaca. Sesiapa yang berkunjung ke rumah kami juga berminat dan tertarik untuk membaca terutamanya Kalamullah dan apa yang mengembalikan kepada Allah. Setiap ilmu dunia dan akhirat , semua mengembalikan kita kepada pencipta. Suara kami digunakan sentiasa untuk tarbiah secara berlemah-lembut, kerana Allah juga sangat suka pada setiap perbuatan yang lemah-lembut. Maha Lembutnya Allah. Nampak tak suasana rumah kami. Jom lah ! nanti jemput datang ke rumah baru kami ! :)
Ustazah Hafizah berkongsi pandangan di slot Muqaddimah Usroti..
Satu doa yang Nabi SAW sering amalkan ketika baginda berbaring. Ada yang disebutkan, tetapi saya teringat pada makna hadis sahaja. (walaupun ustaz pernah pesan, pelajar Quran & Sunah perlu membentangkan hadis yang jelas sumbernya dan sanad matannya.., saya tak dapat ingat dengan sekali mendengar lagi setakat ini..maaf, ustaz..)
Doanya begini : “ Wahai Allah, tika jiwa ini diangkat bertemu-Mu, maka kasihanilah jiwa ini. Wahai Allah, tika jiwa ini dikembalikan kepada diri ini, maka didik dan jagalah sebagaimana Engkau menjaga orang-orang yang soleh.”
Doa ini banyak yang tersirat. Satu permintaan ketika diangkat bertemu Allah, bermaksud..setiap daripada kita apabila kita tidur, tak kira sama ada kita berdoa atau pun tidak sebelum tidur, hakikatnya jiwa kita kembali kepada Allah.
Lihatlah, jika kita membawa amalan yang buruk, apakah kita tidak malu?
mengapa kita perlu berdoa sedemikian?
Agar kita sedar yang jiwa kita perlu bertaubat akan dosa-dosa kita serta bertambah kesedaran bahawa Allah lah tempat kembali. Jika keesokannya Allah tak mengizinkan kita kembali kepada diri, semoga dengan doa ini kita dikasihi Allah.
Sebaliknya, jika Allah mengembalikan diri kita , maka semoga jalan kita terdorong dengan pimpinan Allah.
Maha Luansya Ilmu Allah…
Hidayah Allah tidak mengenal usia
Ustazah bercerita kisahnya semasa berada di sebuah bengkel sekolah rendah. Lalu datang seorang pelajar tahun enam bertemu beliau dan meminta sesuatu , “Ustazah , doakan saya tau dapat 5A” . Ustazah menjawab seperti biasanya, “InsyaAllah, UPSR kan?” ..
“Ustazah doakan tau!”…”ya, ustazah doakan”
“tapi kenapa ustazah tak macam sungguh-sungguh je? Ustazah tak tanya pun nama saya.”
“Ok, nama siapa”…menjawab la akan namanya.
“Ustazah saya betul-betul nak dapatkan 5A. sebab ibu saya janji, kalau saya dapat 5A saya boleh minta apa je yang saya nak. Ibu pun tak tahu apa yang saya nak ”
Ketika ni, saya sudah terbayangkan PS2 , game, IPAD dan lain-lain permintaan seperti kebiasaan anak-anak moden sekarang.
“ok, cuba kongsikan dengan ustazah apa yang awak nak?”
“ Saya nak minta ibu saya tutup aurat”
Allah. Berderai air mata.. pabila telinga ini menangkap kata-katanya , sebak di dada. Betapa hidayah itu tidak mengenal siapa dan usia. Anak ini punya impian yang besar terhadap ibu yang melahirkannya. Sucinya fitrah seorang anak.
Saat itu juga ustazah menadah tangan berdoa kepada Allah dengan penuh harap. Saya yang mendengar sambil menggosok baju juga turut sama mengharapkan satu harapan yang sama. Allah…
Ustazah mengajak kepada para suami isteri melihat akan kehidupan mereka di rumah bersama anak-anak. Adakah rumah yang disediakan mudah untuk mendapat hidayah Allah ??? Bagaimana rumah ‘hidayah’ ??? Lihat suasana yang kita bentuk di rumah. Adakah sekadar hiburan, makanan jasmani..atau kita sediakan sudut-sudut makanan rohani, tazkirah, hiburan yang mendidik, dan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Besarnya peranan rumah. Baiti Jannati terlihat di sini.
Sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Khaldun bahawa sebuah tamadun yang hebat adalah lahir daripada keluarga dan rumah yang mantap. Lihat, peranan ibu bapa sangat besar di sini, tidak dilupakan peranan anak-anak yang juga perlu mengingatkan ibu bapa yang tersilap.
Ini baru muqaddimah dalam slot Usroti, Jumaat pagi. Jadi untuk menambahkan ilmu pengukuhan sebuah rumah tangga, sesuaikan dan biasakan pendengaran anda untuk slot ini serta pendengaran dan bacaan yang berkaitan kehidupan positif. Lintaskan dalam hati perasaan yang indah dan yakin Allah membantu merealisasikannya. Amin…
No comments:
Post a Comment
berbicara di sini..