AyaT SakinaH

Al-Fath : 4.

هوالذي أنزل السكينة فى قلوب المؤمنين ليزدادوا إيمنا مع إيمنهم

ولله جنود السموت والأرض وكان الله عليما حكيما

(Tuhan Yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah Yang menurunkan semangat tenang tenteram ke Dalam hati orang-orang Yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta Dengan iman dan keyakinan mereka Yang sedia ada; pada hal Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pelangi Usai Hujan

hidup seorang puteri sakinah

hidup seorang puteri sakinah

Tuesday, September 7, 2010

PENA 21: Tanda-tanda akhir



Oleh Nasron Sira Rahim


KETIKA sedang bersiap untuk pulang ke rumah selepas selesai mengimamkan solat Asar, seorang lelaki dengan wajah bingung dan kerunsingan datang mengetuk pintu kamar biliknya.

Melihat jasad lelaki itu di sebalik kaca pintu bilik, Imam Min tersenyum bagi memberi isyarat membenarkannya masuk. Wajah runsing masih kelihatan di sebalik senyuman balas yang seolah-olah terpaksa dihadiahkan untuknya, kala lelaki itu melangkah ke bilik kecilnya.

Lantaran mereka tidak pernah bertemu sebelum ini, lelaki itu memulakan perkenalan dengan huluran tangan dan menyingkap butir-butir ringkas mengenai dirinya. Jelas didengari bahawa suaranya tersekat-sekat ketika menuturkan setiap bilah kata bagaikan ada beban yang amat berat sedang ditanggung benaknya ketika itu.

Seterusnya lelaki berkenaan mendiamkan diri untuk seketika dan suasana sunyi menyelubungi atmosfera bilik. Agak pelik dia melihat perlakuan tetamunya itu, sentiasa kelihatan gelisah dan takut. Ketika dia cuba membuka bicara bagi meleraikan ikatan sepi, lelaki berkenaan memulakan tutur kata.

“Tuan Imam, sesuatu yang pelik berlaku dalam hidup saya sejak dua minggu lalu,” suaranya agak perlahan, pandangannya ditundukkan dan jemarinya disilangkan antara satu sama lain. Garis-garis kerutan terlukis di dahi Imam Min. Dia menunggu lanjutan kata dari bibir tetamu di hadapannya.

Lelaki itu bagaimanapun tidak lagi meneruskan bicara, sebaliknya mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang dibawa. Sebuah al-Quran lama diletakkan di atas meja, di hadapannya. Imam Min memakukan pandangan pada kitab suci itu. “Ini al-Quran pusaka keluarga kami. Sudah lapan generasi diwariskan sebelum saya memilikinya.” Dicapainya al-Quran berkenaan sebelum dia meneliti dengan perasaan kagum. Walaupun helaian surah sudah kekuningan, nas bertulis tangan masih jelas tertera. Malah gaya khat di muka kitab dilirik dengan penuh unik sehingga yakin dia bahawa gaya itu masih belum pernah dihasilkan mana-mana penulis sebelum ini. “Cantik al-Quran ini,” dia ikhlas menzahirkan pujian.

“Saya jumpa al-Quran ini dalam stor di rumah arwah datuk, dua tahun lalu. Kerana tiada lagi sesiapa yang mahu menggunakannya, saya bawa pulang kitab ini untuk membacanya. Asal kitab ini datangnya dari Acheh, dibawa moyang kami yang datang berdakwah ke sini pada zaman Kedah Tua dulu,” dengan suara tersekat-sekat, lelaki itu menuturkan penjelasan.

“Jadi apa masalahnya,” Imam Min terus ke mauduk pertemuan. Wajah serba-salah mengiringi pandangan lelaki itu ke arahnya, seolah-olah takut untuk meluahkan masalah dihadapi.

“Saya baca al-Quran ini setiap hari dan alhamdulillah, sudah khatam sekali. Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu, sesuatu yang pelik berlaku. Ada antara ayat ini, hilang dengan sendirinya.” Pandangan Imam Min segera teralih daripada penelitian terhadap kitab tua ke wajah si lelaki. Bersama kerutan di dahi, dia cuba mencari ketelusan di sebalik kata-kata aneh yang diucapkan sebentar tadi. Ayat al-Quran yang ghaib?
“Mulanya pada malam Jumaat dua minggu lalu, ketika khusyuk menekuni surah al-Mukminun, terlihat saya ruang halaman yang kosong. Mulanya diingatkan dakwat tulisan yang pudar tetapi setelah diamati, yakin saya yang ayat pertama hilang bagaikan dipadam dengan sempurna. Ayat-ayat lain masih elok.”

Serta-merta diselaknya helaian kitab yang diperbuat daripada kulit haiwan itu bagi mencari logik pada dakwaan lelaki berkenaan. Tanda tanya terus menujah ke kotak fikirnya.

“Mulanya saya fikirkan ia mungkin perasaan saya saja tetapi empat hari kemudian, saya dapati ayat kedua dan ketiga pula ghaib.” Selakkan helaian akhirnya terhenti pada surah berkenaan. Memang benar! Lelaki di hadapannya tidak menipu, ayat suci itu lesap meninggalkan ruang kosong di tengah nas sesudah dan sebelumnya. Bacaan basmalah masih jelas tertera tetapi selepas itu, ruang terus kosong sehinggalah ayat keenam surah. Memang aneh dan misteri. Tidak mungkin tulisan yang pudar meninggalkan ruang kosong seperti itu. Ketakutan dan kebingungan mula menjalar ke jiwanya dan fahamlah dia akan perasaan dihadapi lelaki itu.

“Berapa kali kejadian ini berlaku?” dengan nada hairan, dia mengusulkan persoalan. “Sehingga subuh Isnin lalu, semuanya empat kali Tuan Imam, lima ayat.” Perasaan seram sejuk mula menusuk jasadnya. Aneh kejadian berkenaan, memang aneh.

Selepas terdiam seketika bagi merasionalkan dirinya, Imam Min bangun dan mencapai sebuah kitab terjemahan al-Quran di rak belakang. Helaian kitab terjemahan diselak sehingga menemukan surah al-Mukminun. Walaupun sudah mengetahui dan menghafaz ayat yang hilang itu, dia tetap ingin memastikan maksud nas berkenaan.

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.” Firman Allah itu dibaca lambat bagi diperdengarkan di hadapan tetamu itu. Selesai baca, lelaki itu memandang ke arahnya dengan seribu tanda-tanya. Dia diam, lelaki itu juga terdiam.

“Apa maksud semua ini Tuan Imam?” Buntu sekali dirinya untuk memberikan jawapan. Tidak pernah perkara seperti itu didengari berlaku di mana-mana sebelum ini; tidak pernah juga persoalan seperti itu diajukan kepadanya seumur hidup. Bingung dia bingung.

Lelaki itu hanya memandang kosong kepadanya. Segala permasalahan yang menyelubungi mereka kini diserahkan bulat-bulat oleh lelaki itu kepadanya untuk diselesaikan. Beban itu teralih kepadanya sedangkan dia masih bingung untuk memberi sebarang jawapan.

“Mengapa ayat al-Quran ini tiba-tiba saja boleh hilang?” tanpa sebarang jawapan, lelaki itu kembali mendesak penjelasan. Mengemukakan persoalan yang benar-benar membawa Imam Min ke lembah kebuntuan.

Diasak kebingungan dalam mencari jawapan yang pasti untuk diluahkan kepada lelaki itu, seketika dia merenung jauh ke alam muhasabah dan menyusuri lorong-lorong fikir.

“Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi mereka yang berfikir.” Nas yang banyak disebut dalam al-Quran itu kerap singgah di benak mindanya sejak diperlihatkan perkara aneh itu. Sesungguhnya segala sesuatu itu berlaku atas kehendak Tuhan jua dan yakin dia bahawa segala yang berlaku tidak terjadi dengan sia-sia. Pasti ada sebabnya.

“Saudara, saya yakin segala sesuatu perkara itu berlaku dengan kehendak Allah SWT,” Imam Min menghelakan nafas di celah-celah kebingungan.

Sememangnya sedar dia bahawa perkara ghaib wujud dalam Islam dan wajib diimani. Sedar dia bahawa mukjizat, keramat dan beberapa hal yang tidak dapat dijelaskan akal dan sains turut tertakrif dalam doktrin Islam. Bagaimanapun, dalam keadaan dunia sekarang, jarang lagi dijumpai perkara seperti itu. Pernah didengarinya ketika kecil kisah-kisah wali yang mampu berjalan di atas air tetapi seumur hidupnya meniti alam dewasa, belum pernah dia menjumpai manusia seperti itu.

Sepuluh tahun lalu, pernah negaranya kecoh apabila sekumpulan pelajar dan guru agama mendakwa melihat objek-objek aneh antaranya kalimah syahadah dan lidah manusia dipotong di dada langit. Ya, itu memang perkara pelik dan mistik, tetapi ‘keanehan’ itu akhirnya terbongkar apabila pihak berkuasa mendapati ia adalah penipuan kumpulan tertentu yang memancarkan laser ke langit.

Menggunakan jin sememangnya mampu menghasilkan pelbagai perkara pelik tetapi entahlah, dia sendiri tidak dapat menjelaskan peristiwa dialami lelaki itu kini. Dengan ilmunya, dia tidak berani memutuskan peristiwa itu.

“Tuan Imam....” panggilan lelaki itu kembali menyedarkannya daripada lamunan. Barulah dia menyedari bahawa agak lama dia larut dalam mencari dalil akli sehingga meninggalkan lelaki itu keseorangan di alam realiti.

“Saya sendiri tidak berani menghakimi kejadian aneh ini.” Perasaan sebenarnya diluahkan kepada lelaki itu. Wajah-wajah hampa jelas terlukis pada riak si lelaki. “Tetapi sekadar pendapat saya, mungkin ayat ini ghaib lantaran ia tidak lagi dipedulikan umat manusia,” lelaki itu memanggung kepala ke arahnya.

“Contohnya kaitan antara ayat ini dengan senario semasa, berapa ramai umat Islam yang menunaikan suruhan ini? Saya yakin ramai umat Islam yang sudah tidak menunaikan solat sedangkan solat itu tiang agama.” Tetamunya mengangguk perlahan dan terus menunggu luruhnya buah-buah penjelasan.

Fikirannya bagaimanapun kembali menjengah ke alam realiti yang didiami umat Islam terutama di negaranya kini. Serta-merta perasaan sebak menguasai jiwa tatkala mengenangkan ramai antara kenalan, saudara dan insan yang ditemuinya sudah tidak lagi menunaikan solat. Solat itulah jalan menemui Allah tetapi jelasnya ramai yang tidak lagi mempedulikan-Nya.

“Solat itulah titik tolak dalam kehidupan manusia, solat itulah jawapan dan formula terbaik dalam menangani pelbagai kecelaruan dan kebejatan sosial masyarakat. Jika solat ditunaikan dan dihayati, pasti masalah sosial masyarakat, mat rempit, dadah, seks luar nikah, rasuah dan jenayah mampu diatasi,” dia menarik nafas sebelum menghembus perlahan.

“Begitu juga ayat-ayat seterusnya, ayat ketiga misalnya menerangkan kunci kebahagiaan manusia iaitu selalu menjaga waktu dan umurnya supaya jangan sia-sia, sentiasa mencari pahala dan mengelak dosa.

“Takwilnya, dia (manusia) selalu menjauhkan diri daripada penipuan, kezaliman, penghinaan kepada orang lain, korupsi, penyelewengan atau terlalu lalai dengan hiburan seperti sekarang. Yakin dia bahawa seluruh ucapan dan perbuatan dicatat malaikat sebagai bukti untuk mengadili mereka di akhirat. Maka atas dasar perhitungan dan keyakinan itu, manusia itu tidak mahu mengerjakan apa saja yang tidak berguna bagi dirinya sendiri, bahkan hanya menimbulkan kerugian dan penyesalan. Akan tetapi semakin ramai yang sudah tidak menghiraukan perkara ini sekarang,” jelasnya panjang lebar.

“Jadi adakah kehilangan ayat keempat bermaksud sudah ramai umat Islam yang sudah tidak menunaikan zakat, manakala ayat kelima pula akibat berleluasanya seks luar nikah ketika ini?” Imam Min mengangguk perlahan menyetujui telahan lelaki itu.

Mindanya mengimbau pengaduan rakannya yang bekerja di pejabat zakat - sudah ramai umat Islam yang tidak menunaikan zakat melainkan zakat fitrah; zakat lain seperti harta, emas, penternakan dan zakat pendapatan walaupun sekadar 2.5 peratus, tidak dipedulikan seolah-olah ia bukan suruhan-Nya.

Malah gejala seks luar nikah pula kini sudah semakin membarah dalam masyarakat bagaikan ia kegiatan biasa dan lumrah. Persoalan seks menjadi topik menarik sehingga dieksploitasi dalam majalah picisan, akhbar, televisyen dan pelbagai media.

“Bahkan bukan saja umat Islam sekarang tidak menunaikan zakat, tetapi ramai terbabit dalam riba seolah-olah ia adalah satu kemestian tanpa ada apa-apa rasa bersalah. Sedangkan ayat ke-278 dan 279 daripada surah al-Baqarah menerangkan riba itu dosanya seperti berperang dengan Allah!”

Keadaan kembali sepi seketika. Lelaki itu kemudian mengangkat pandangannya. “Jadi, apa yang perlu saya lakukan sekarang, Imam?” persoalan itu kembali membawanya mendalami lembah fikir. Jika benar kejadian berkenaan, ia bukanlah perkara kecil yang hanya diputuskan olehnya. Ia perkara besar yang memerlukan takwil daripada ulama mukhtabar yang lebih dalam ilmunya.

“Saudara perbanyakanlah amalan termasuk ibadat sunat. Dekatkan diri dengan Allah, hayatilah segala suruhan dan larangan-Nya bersungguh-sungguh.”

Selepas lelaki itu meninggalkan dirinya keseorangan dalam bilik itu, fikirannya terus menyingkap pelbagai kemungkinan di sebalik peristiwa itu. Pelbagai misteri, rahsia dan teka-teki menyalurkan kebingungan dan ketakutan ke dalam dirinya. Ya Tuhan, adakah ini tanda-tanda akhir dunia akan kiamat?

Profil penulis

MOHD Nasron Sira Rahim atau nama penanya, Nasron Sira Rahim, dilahirkan di Kampung Nawa pada 23 Disember 1981,

No comments:

Post a Comment

berbicara di sini..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...