Disalin dari penulisan Nawawi Dusuki dalm bukunya "Kisah Ringkas Kehidupan Rasululah s.a.w "
________________________________________________________________________
" Wahai fulan, engkau kahwinkan aku dengan anak gadis engkau," kata Nabi s.a.w kepada seorang sahabat.
" Baik, dengan segala senang hati ! " jawab sahabat itu.
" Tetapi pinangan ini bukan untuk aku, " kata Nabi lagi.
" Untuk siapa," tanya sahabat seakan terkejut kerana pada mulanya dia beranggap Nabi yang menginginkan anaknya.
" Julaibib, " jawab Nabi s.a.w.
" Ya Rasulullah , (kalau untuk dia) baiklah aku berunding dengan ibunya, " jawab sahabat itu.
Ia pun segera pulang ke rumahnya. Dalam hatinya timbul persoalan bagaimana jika isterinya menolak atau menerima.
Jika menolak pinangan Nabi sudah tentu tidak baik bagi seorang Mukmin. Tetapi menerimanya juga berat, bermenantukan seorang seperti Julaibib akan menjadi pembicaraan orang ramai kerana beliau dianggap lelaki yang tidak laku.
" Nabi meminang anak gadis engkau," kata sahabat kepada isterinya sesampainya dia di rumah.
" Baik dan dengan segala senang hati," jawab isterinya.
" Tetapi bukan untuk baginda," kata sahabat
" Untuk siapa," tanya isteri
" Julaibib ! " jawab sahabat.
" Untuk Julaibib ? aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan beliau, sunguh-sungguh , demi Allah! " jawab isteri dengan tegas sekali
Setelah demikian jawapan isterinya maka segeralah beliau kembali kepada Nabi, tetapi sebelum beliau dapat berbuat sesuatu, telah berlaku kejadian tanpa diduga sama sekali.
Anak gadisnya telah mendengar pembicaraan kedua ibu bapanya dan keputusan menolak Julaibib itu sebenarnya menolak ketentuan Rasul.
"Apakah ayah dan ibu menolak keputusan Rasulullah ? " demikian anak gadis itu bertanya kepada mereka berdua.
"Beritahu kepada Nabi, aku menerima pinangannya Julaibib, kerana baginda tidak membiarkan aku tersia-sia," selanjutnya gadis itu berkata mendorong bapanya.
Mendengar kata tegas anaknya itu, maka beliau datang menemui Rasulullah dan berkata : " Kehendak engkau diterima."
Nabi s.a.w. pun mengahwinkan Julaibib dengan gadis itu. Sesunggunhya gadis itu mempunyai pandangan jauh serta iman yang tinggi. Beliau tidak memandang tentang rupa yang tidak disukai orang tetapi sebenarnya menghargai ketentuan Nabi atas dirinya.Rasulullah lebih tahu hal ini dan tidak akan membuatnya terhina. Demikian contoh gadis beriman yang menghargai ketentuan agamanya lebih utama.
" Ya Allah, limpahkanlah keberkatan-Mu ke atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan
hidupnya dalam susah-payah," demikian Nabi mendoakan untuk gadis itu.
Pernikahan diselesaikan kedua mereka dipertemukan oleh Nabi s.a.w. Sesungguhnya kejadian ini sangat besar ertinya sehinggakan ahli sejarah tidak menyebutkan nama gadis itu dan kedua orang tuanya. Ketinggian IMAN gadis itu pada menyambut ketentuan Nabi lebih penting dari nama. Sejarah mengenali kemurnian gadis itu dari doa Nabi s.a.w. untuknya.
Julaibib ini sebenarnya seorang pahlawan unggul walaupun beliau berwajah hodoh. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam satu peperangan bersama Nabi dan baginda sendiri ikut sama menyempurnakan jasadnya. Isterinya pula menjadi seorang janda terhormat kemudiannya. Kedua pasangan suami-isteri ini mendapat penghargaan dari Nabi s.a.w., iaitu suaminya kerana keberaniannya dan isteri kerana nilai Imannya.
No comments:
Post a Comment
berbicara di sini..